Cara membuat carian

Didik Hibur merupakan sebuah blog yang mengumpulkan nota pembelajaran. Didik Hibur menggunakan pendekatan ‘Fun Learning’ supaya pembelajaran menjadi menarik dan bermakna.

Kadangkala fungsi carian yang terdapat di dalam blog ini tidak dapat digunakan. Untuk mengatasi masalah ini, carian maklumat boleh dilakukan menerusi laman web google. Anda perlu taip jenis maklumat yang hendak dicari, diikuti ‘site:didikhibur.blogspot.com’. Contoh dalam gambar disebelah adalah jika anda hendak mencari maklumat tentang ‘pantun’.

Showing posts with label Morfologi. Show all posts
Showing posts with label Morfologi. Show all posts

Bentuk Kata Ganda

Bentuk kata ialah proses pembentukan kata menghasilkan bentuk kata tunggal, bentuk kata terbitan, bentuk kata majmuk dan bentuk kata ganda.

Kata Ganda

Menurut Nik Safiah Karim, kata ganda ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangi kata dasar, sama ada kata ganda tersebut diulangi secara keseluruhan atau pada bahagian-bahagian tertentu dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan.

Arbak Othman memberikan definisi penggandaan sebagai proses bagaimana suatu kata dasar atau sebahagian daripadanya diulang.

Bahagian yang diulang ini dipanggil gandaan yang boleh mendahului atau mengikuti dasarnya.

Terdapat tiga jenis kata ganda :

a)Penggandaan penuh
-proses yang menggandakan keseluruhan kata ganda. Gandaan penuh boleh dibuat pada kata akar dan kata terbitan. Kata nama, kata kerja dan kata sifat jua boleh digandakan.

Contohnya pulau-pulau, cantik-cantik, anak-anak dan lari-lari. Kata nama yang mengandungi imbuhan juga boleh digandakan sepenuhnya, iaitu pemimpin-pemimpin, pelatih-pelatih.

b)Penggandaan separa
-proses yang menggandakan sebahagian kata dasar. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal atau kata terbitan. Penggandan separa boleh berlaku di hadapan atau di belakang kata dasar.

Contohnya kekura, pepohon, berlari-lari, kecil-kecilan.

c)Penggandaan berentak
-proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Dalam penggandaan berentak, seluruh kata dasar digandakan dan bunyi-bunyi tertentu diulang atau diubah.
-Penggandaan berentak boleh dibahagikan kepada tiga jenis :

i)Penggandaan berentak pengulangan vokal -penggandaan yang mempunyai ciri-ciri persamaan pada bunyi-bunyi vokal tertentu, iaitu terdapat ciri-ciri keharmonian vokal. Contohnya sayur-mayur, selok-belok, hina-dina

ii)Penggandaan berentak pengulangan konsonan - iaitu penggandaan yang mempunyai ciri-ciri persamaan pada bunyi-bunyi konsonan tertentu. Contohnya gunung-ganang, batu-batan, mandi-manda.

iii)Penggandaan berentak bebas - iaitu penggandaan yang tidak mempunyai ciri-ciri persamaan pada bunyi vokal atau konsonan. Contohnya susur-galur, sahabat-handai, tinggi-lampai.


Terdapat sekurang-kurangnya lima makna dalam penggandaan kata.

a)Gandaan sebagai penanda jamak, iaitu jumlah yang banyak. Contohnya meja-meja, bukit-bukau
b)Gandaan sebagai penanda nama haiwan. Contohnya biri-biri, rama-rama dan kupu-kupu
c)Gandaan sebagai penanda makna serupa. Contohnya langit-langit, gula-gula
d)Gandaan sebagai penanda pelbagai jenis. Contohnya sayur-mayur, kuih-muih.
e)Gandaan sebagai penanda tidak tentu. Contohnya apa-apa, siapa-siapa.

Bentuk Kata Majmuk

Bentuk kata ialah proses pembentukan kata menghasilkan bentuk kata tunggal, bentuk kata terbitan, bentuk kata majmuk dan bentuk kata ganda.

Kata Majmuk

Kata majmuk didefinisikan sebagai bentuk kata yang wujud apabila dua kata dasar atau lebih dirangkaikan menjadi satu kesatuan sintaksis yang membawa makna tertentu. Kata majmuk bertindak sebagai satu unit dan dieja terpisah, melainkan kata majmuk yang telah mantap.

Kata majmuk terbahagai kepada tiga :

a)Kata Nama Majmuk. Contoh : setiausaha, warganegara, tandatangan, uji kaji, kebolehubahan
b)Kata Kerja Majmuk. Contoh : menandatangani, bertanggungjawab, memberitahu
c)Kata Sifat Majmuk. Contoh : sukacita, dukacita
d)Kata Tugas Majmuk. Contoh : apabila, apakala, apahal, apalagi, bagaimana

Berdasarkan jenisnya, kata majmuk dapat dipisahkan kepada tiga kelompok:

a)Kata majmuk yang terdiri daripada rangkaian kata bebas.
Contohnya gambar rajah, biru laut, terima kasih, kuning langsat. Dalam kategori ini termasuk bentuk kata yang digunakan sebagai gelaran seperti perdana menteri, raja muda, menteri besar, profesor madya.

b)Kata majmuk berbentuk istilah khusus.
Contohnya model linear, garis pusat, mata pelajaran, kertas kerja, kanta tangan.

c)Kata majmuk yang mendokong maksud kiasan iaitu simpulan bahasa.
Contohnya kaki ayam, buah hati, duit kopi, makan angin, pilih kasih.

Kata majmuk dapat dibentuk melalui pelbagai cara:

a)dua perkataan digabungkan dan ditulis sebagai satu perkataan.
Contoh :
duka + cita = dukacita
jawatan + kuasa = jawatankuasa

b)perkataan dan fakta digabungkan dan ditulis sebagai satu perkataan.
Contohnya walaupun dan adalah.

c)dua perkataan digabungkan tetapi tidak dieja sebagai satu perkataan, sebaliknya kekal sebagai dua perkataan.
Contohnya uji bakat, ulang tayang, temu janji, hak milik.

d)dua perkataan bebas dijadikan satu perkataan dengan menggunakan imbuhan apitan dan ejaannya mestilah bercantum.
Contoh :
pindah milik ...dipindahmilikkan
tukar ganti ...ditukargantikan

e)kata majmuk yang menerima imbuhan awalan atau akhiran sahaja tidak dicantum.
Contoh :
campur aduk ...bercampur aduk
temu bual ...ditemu bual

Terdapat sebilangan kecil kata majmuk yahg penggunaanya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh. Walaupun bentuk kata tersebut ternyata mengandungi dua kata dasar, perkataan yang demikian tetap dieja sebagai satu perkataan. Contohnya antarabangsa, beritahu, bumiputera, jawatankuasa, setiausaha.

Penggandaan kata majmuk melibatkan penggandaan unsur pertama kata sahaja, contohnya alat-alat tulis, balai-balai raya. Penggandaan yang melibatkan bentuk yang telah mantap melibatkan seluruh unsur. Contohnya setiausaha-setiausaha, pesuruhjaya-pesuruhjaya.

Bentuk Kata Terbitan

Bentuk kata ialah proses pembentukan kata menghasilkan bentuk kata tunggal, bentuk kata terbitan, bentuk kata majmuk dan bentuk kata ganda.

Kata Terbitan

Kata terbitan ialah bentuk kata yang mengandungi kata dasar yang mendapat atau menerima imbuhan. Kata terbitan ini terbentuk melalui proses pengimbuhan iaitu proses yang menggandingkan imbuhan pada kata dasar dan menghasilkan empat bentuk kata terbitan :

a)Kata Terbitan Berawalan
b)Kata Terbitan Berakhiran
c)Kata Terbitan Berapitan
d)Kata Terbitan Bersisipan

IMBUHAN

Imbuhan ialah unit-unit bahasa yang ditambahkan pada bentuk-bentuk lain yang menyebabkan perubahan makna nahunya. Imbuhan dapat dibahagikan pada empat jenis :

a)imbuhan awalan
-unsur imbuhan yang ditambahkan pada bahagian hadapan kata dasar.
Contoh : imbuhan ‘ber’ dalam ‘bersukan’ ...ber+sukan

b)imbuhan akhiran
-unsur imbuhan yang hadir selepas kata dasar
Contoh :
imbuhan ‘-an’ dalam ‘makanan’ ...makan+an
imbuhan ‘-kan’ dalam ‘kembalikan’ ...kembali+kan

c)imbuhan apitan
-imbuhan yang hadir secara melingkungi kata dasar iaitu dua bahagian imbuhan yang hadir serentak pada awal dan akhir perkataan
Contoh :
imbuhan ‘men…..kan’ dalam ‘mendebarkan’ ...men+debar+kan
imbuhan ‘pe….an’ dalam ‘pendidikan’...pen+didik+an

d)imbuhan sisipan
-unsur imbuhan yang hadir di celahan kata dasar. Bentuk ini tidak lagi produktif dalam pembentukan kata terbitan, iaitu kata terbitan baru tidak lagi dibentuk dengan imbuhan sisipan
Contoh : imbuhan ‘…er…’ dalam ‘keruping’
imbuhan ‘…el…’ dalam ‘telunjuk’

Kata Terbitan Berawalan

Kata terbitan berawalan dapat wujud dalam kata nama terbitan, kata kerja terbitan,dan kata adjektif terbitan. Contoh :

a)Kata Nama :
pelari, perakus ( imbuhan ‘pe’)
pembawa, pembuat (‘pem’)
suprakelas, supranasional (‘supra’)

b)Kata Kerja :
melawan, mengikat, merasa (‘me’)
berjalan, berganti, berserta (‘ber’)

c)Kata Adjektif :
terbesar, tercantik (‘ter’)
secerah, setebal, senipis (‘se’)

Kata Terbitan Berakhiran
Kata terbitan berakhiran dapat wujud dalam kata nama terbitan dan kata kerja terbitan sahaja.

Contoh :
a)Kata Nama :
pakaian, jahitan, mainan (‘-an’)
sasterawan, angkasawan (‘-wan’)
budiman, seniman (‘-man’)
peragawati, seniwati (‘-wati’)
nasionalisme, patriotisme (‘-isme’)

b)Kata Kerja : gunakan, besarkan, buatkan (‘-kan’)
duduki, turuti, berkati (‘-i’)

Kata Terbitan Berapitan
Kata terbitan berapitan dapat wujud dalam kata nama terbitan, kata kerja terbitan,dan kata adjektif terbitan.

Contoh :
a)Kata Nama :
pelaksanaan, perasaan (‘pe…an’)
kelainan, kedukaan (‘ke…an’)

b)Kata Kerja :
memainkan, melukakan (‘me…kan’)
beralaskan, berlaukan (‘ber…kan’)
diyakini, disirami (‘di…i’)
dipergunakan (‘diper…kan’)
memperdagangkan (‘memper…kan’)
keselesaan (‘ke…an’)

c)Kata Adjektif :
kemelayuan (‘ke…an’)

Kata Terbitan Bersispan
Bentuk sisipan tidak lagi produktif dalam pembentukan kata terbitan, yakni kata terbitan baru tidak lagi dibentuk dengan sisipan. Bentuk-bentuk kata sisipan sudah membeku dalam kata terbitan tertentu dan tidak dapat hadir dalam perkataan –perkataan lain kecuali dalam beberapa istilah yang baru dicipta. Kata terbitan bersisipan dapat wujud dalam kata nama terbitan dan kata adjektif terbitan.

Contoh :
a)Kata Nama :
kelingking, telunjuk (‘..el..’)
keruping, seruling (‘..er..’)

b)Kata Adjektif :
kelebak, selerak (‘..el..’)
gemilang, semerbak(‘..em..’)

Bentuk Kata Tunggal

Bentuk kata ialah proses pembentukan kata menghasilkan bentuk kata tunggal, bentuk kata terbitan, bentuk kata majmuk dan bentuk kata ganda.

Kata Tunggal

Bentuk kata tunggal ialah bentuk kata yang terdiri daripada hanya satu bentuk kata dasar yakni tidak menerima apa-apa bentuk imbuhan atau kata dasar lain. Kebanyakan kata tunggal dalam Bahasa Melayu mempunyai potensi untuk diperluaskan dengan bentuk terbitan.

Kata tunggal boleh terdiri daripada satu suku kata dan dua atau lebih suku kata. Contoh:
satu suku kata – am, dan, roh, skru
dua suku kata – itu, ubi, aku

Jenis Kata Tunggal Ada 2:

i. Unit yang bebas dan dapat berdiri sendiri sebagai satu ayat.
Contoh:
a.Itu ?
b.Bakal!
c.Saya.

ii. Unit yang tidak dapat berdiri sendiri tetapi memerlukan sekurang-kurangnya satu unit yang bebas untuk melaksanakan tugas nahunya.
Contohnya:
a.di mana?
b.untuk siapa?
c.ke Johor.

Bentuk Kata Tunggal Ada 5:

i.Kata tunggal satu suku kata
Contoh:
am - VK
had - KVK
wang - KVK
brek- KKVK
skrip- KKKVK

ii. Kata tunggal dua suku kata
Contoh:
aku { a + ku }V + KV
syahdu { syah + du} KVK + KV
bulat{ bu + lat }KV + KVK
buih { bu + ih} KV + VK
bengkok{ beng + kok}KVK +KVK

iii. Kata tunggal tiga suku kata
Contoh:
bahaya{ba+ha+ya} KV+KV+KV
mentua{men+tu+a} KVK+KV+V
isyarat {i+sya+rat} V+KV+KVK
Gembira {gem+bi+ra} KVK+KV+KV
Matlamat {mat+la+mat}KVK+KV+KVK

iv. Kata tunggal empat suku kata atau lebih
Contoh:
anugerah {a+nu+ge+rah} V+KV+KV+KVK
masyarakat {ma+sya+ra+kat}KV+KV+KV+KVK
universiti {u+ni+ver+si+ti} V+KV+KVK+KV+KV
klasifikasi {kla+si+fi+ka+si}KKV+KV+KV+KV+KV
personifikasi {per+so+ni+fi+ka+si} KVK+KV+KV+KV+KV+KV

v. Akronim
-Berasaskan perlaksanaan tatabahasa, kata tunggal dapat dibahagikan kepada tiga jenis:
a)Kata tunggal yang merupakan unit bebas dan dapat berdiri sendiri sebagai satu perkataan yang bermakna. Contoh : orang, gitar, pen, botol

b)Kata tugas, iaitu unit yang yang tidak dapat berdiri sendiri tetapi memerlukan sekurang-kurangnya satu unit yang bebas untuk melaksanakan tugas nahunya. Contoh : dari, dan, pada, demi, untuk

c)Kata akronim, iaitu perkataan yang diterbitkan melalui proses penggabungan beberapa perkataan dan membentuk satu perkataan yang utuh. Bentuk-bentuk singkatan ini terdiri daripada suku kata atau huruf-huruf tertentu.

Contoh :
berdikari – berdiri di atas kaki sendiri
komuter – keretapi berkomputer
kugiran – kumpulan gitar rancak
pawagam – panggung wayang gambar

Kata Bantu Kata Penguat Kata Arah

Kata Tugas (Kata Bantu, Kata Penguat, Kata Arah)

-Kata prafrasa ialah sejumlah perkataan yang terdapat di hadapan frasa (FN,FK,FA).
-Berfungsi mendukung tugas-tugas maksud yang terkandung dalam ayat tersebut.
-Kata prafrasa mengandungi lapan jenis.

-Terdapat 3 jenis yang akan diberi penjelasan iaitu:-
+Kata bantu
+Kata penguat
+Kata arah

Kata Bantu
-Definisi = jenis perkataan yang bertugas membantu FK, FA dan FSN.
-Menimbulkan makna tambahan dari segi:-
-Aspek waktu
-ragam

-Terbahagi kepada 2 iaitu :-
-Kata bantu aspek
-Kata bantu ragam

Kata Bantu Aspek
-Menimbulkan suasana perbezaan masa iaitu sama ada masa lampau, masa kini atau masa hadapan.
-Bentuk kata bantu ialah telah, sudah, pernah, sedang, masih, akan dan belum.
-Contoh ayat
-Kanak-kanak itu sudah makan.
-Guru Besar masih menyiapkan laporan itu.
-Kami pernah ke selatan Malaysia.
-Mereka sedang melintas jalan.

Kata Bantu Ragam
-Bentuk kata yang menyatakan atau menerangkan ragam perasaan yang berkait dengan perbuatan yang dilakukan.
-Contah kata bantu ragam ialah hendak, mahu, harus, mesti, boleh dan dapat.
-Contoh ayat
-Ramai pemuda kini mahu bekerja sendiri.
-Mereka mesti bayar sewa hari ini juga.
-Kita boleh bertolak ke Terengganu esok.
-Kanak-kanak itu hendak masuk bilik.
-Awak harus cepat supaya tidak ketinggalan bas.

Kata Penguat
-Definisi = perkataan yang mendahului atau mengikuti kata adjektif.
-Berfungsi untuk menguatkan maksud yang terkandung dalam kata adjektif tersebut.
-Terdapat 3 jenis kata penguat iaitu:-
-Penguat hadapan
-Penguat belakang
-Penguat bebas

Kata Penguat Hadapan
-Perkataan yang letaknya di hadapan kata adjektif.
-Contoh kata penguat hadapan ialah:-
-Terlalu
-Paling
-Agak

-Contoh ayat.
-Bangunan itu terlalu tinggi.
-Pemandangan di tepi sawah itu terlalu indah.
-Masakan ibunya paling sedap.
-Buku yang dibawanya agak tebal.

Kata Penguat Belakang
-Perkataan yang letaknya di belakang kata adjektif.
-Contoh kata penguat belakang ialah:-
-Sekali
-Benar
-Nian

-Contoh ayat.
-Indah nian puteri santubong.
-Lambat benar bas itu tiba.
-Keputusan peperiksaannya kali ini buruk sekali.
-Cantik benar lukisan itu.

Kata Penguat Bebas
-Perkataan bebas sama ada di hadapan atau di belakang kata adjektif.

-Contoh kata penguat bebas ialah :-
-Amat
-Sangat
-Sungguh
-Contoh ayat.
-Ayu terbeli baju yang sangat besar.
-Ayu terbeli baju yang besar sangat.

-Pakaian seragam pasukan itu amat kemas.
-Pakaian seragam pasukan itu kemas amat.

-Tiupan angin di tepi pantai sungguh nyaman.
-Tiupan angin di tepi pantai nyaman sungguh.

Kata Arah
-Sejumlah perkataan yang hadir sebelum frasa nama.
-Lazimnya selepas kata sendi nama untuk menunjukkan hala atau jurusan.
-Contoh kata arah ialah:-
-Atas, antara, bawah, tepi, belakang, tengah, dalam, sisi, timur, barat, selatan, hadapan, utara dan sebagainya.

-Contoh ayat.
-Beg itu ada di atas meja.
-Masjid itu terletak di antara sekolah dengan klinik.
-Semua peserta masuk ke dalam dewan.
-Mereka bersembunyi di tepi almari.

Kata Sendi

Definisi Kata Sendi:

- Bertugas sebagai sendi yang merangkaikan frasa nama dengan kata-kata atau frasa-frasa yang lain
- Memerlukan frasa nama untuk membentuk frasa sendi supaya dapat bertugas sebagai predikat ayat
- Tidak dapat berdiri sendiri
- Kata sendi yang utama (dari, ke, di)
- Kata sendi lain (akan, atas, bagi, daripada, dengan, hingga, kepada, oleh, pada, sampai, sebagai, sejak, seperti, tentang, terhadap, untuk dan sebaginya)

Penggunaan Kata Sendi:


KATA SENDI

PENGGUNAANNYA DAN AYAT CONTOH

akan/kepada/terhadap

Digunakan selepas kata adjektif yang menyatakan perasaan atau sikap yang merujuk manusia.

1. Laili amat sayang akan/kepada adiknya.

2. Pelajar harus hormat akan/kepada/terhadap guru.

bagi/untuk

Menunjukkan kegunaan sesuatu.

1. Kereta itu untuk/bagi kegunaan pejabat sahaja.

Menyatakan maksud peruntukan ( KSN untuk sahaja)

2. Tanah seluas dua ekar itu untuk kami

3. Dia membeli bunga untuk ibunya.

dari

Digunakan untuk tempat dan masa.

1. Mereka datang dari Kuala Lumpur.

2. Saya menunggu kamu dari pukul tiga petang.

daripada

Digunakan untuk orang, perbandingan, asal kejadian, benda abstrak, pertentangan, dan untuk menunjukkan keanggotaan.

1. Bunga itu saya terima daripada Lina.

2. Buku ini lebih tebal daripada buku itu.

3. Pasu ini diperbuat daripada tanah liat.

4. Kami memperoleh manfaat daripada ceramah tersebut.

5. Yang dikatakannya berbeza daripada yang diamalkannya.

6. Kumpulan ini terdiri daripada lima orang pelajar.

di

Digunakan untuk tempat.

1. Pelajar-pelajar itu berhimpun di padang.

2. Saya menemukan buku ini di situ.

3. Ali sesat di dalam hutan.

Kata sendi nama di tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa, atau zaman.

  1. Suasana amat tenang pada pagi yang permai itu.

(bukan: Suasana amat tenang di pagi yang permai itu.)

5. Burung-burung pulang ke sarangnya pada waktu senja.

(bukan: Burung-burung pulang ke sarangnya di waktu senja.)

6. Kegemilangan kerajaan Melayu Melaka memuncak pada kurun ke-15.

(bukan: Kegemilangan kerajaan Melayu Melaka memuncak di kurun ke-15.)

dengan

Digunakan untuk menyatakan makna bersama-sama, bandingan setara, keterangan cara, dan penggunaan sesuatu sebagi alat.

1. Ibu ke pasar dengan ayah.

2. Wajahnya tidak sama dengan adiknya.

3. Dia belajar dengan tekun.

4. Ayah membelah kayu dengan kapak.

hingga/sampai

Digunakan untuk menyatakan had tertentu. (masa, waktu, tempat)

1. Majlis itu berlangsung dari pukul dua hingga/sampai pukul lima petang.

2. Pelajar itu berjaga hingga/sampai pagi.

3. Ameerul belajar hingga/sampai universiti.

ke

Digunakan untuk tempat, arah, masa, dan benda konkrit tak bernyawa.

1. Kim Moi ke perpustakaan.

2. Burung-burung itu terbang ke arah selatan.

3. Pemeriksaan lesen radio dan televisyen akan diadakan dari semasa ke semasa.

4. Ali menunggu bas hingga ke petang.

5. Topi itu dihempaskannya ke lantai.

kepada

Lazimnya digunakan untuk orang atau kata ganti diri. Boleh juga digunakan kepada organisasi yang ada kaitan dengan manusia, dan keadaan yang berubah.

1. Saya mengucapkan takziah kepada awak.

2. Surat perjanjian itu diserahkan kepada pihak atasan.

3. Ibu bapa menghantar surat bantahan kepada sekolah.

4. Perubahan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih baik.

oleh

Digunakan selepas kata kerja pasif yang berawalan di- dan ter-.

1. Kuih ini dibuat oleh ibu.

2. Kebanyakan anak-anak muda mudah terpengaruh oleh lagu-lagu pop.

pada

Digunakan untuk masa, manusia, binatang, benda abstrak, dan benda konkrit tertentu.

1. Kami tiba pada pukul lapan malam.

2. Lukisan itu ada pada Rizal.

3. Rantai Siti ada pada Si Comel.

4. Pada pendapat saya, rancangan itu kurang menarik.

5. Marjerin disapukan pada roti.

sebagai

Digunakan untuk menyatakan makna menjadi atau selaku, seakan-akan atau sempurna.

1. Zairi dipilih sebagai ketua kelas.

2. Sebagai seorang pelajar yang baik, Julia amat rajin belajar.

3. Pendiriannya tidak tetap sebagai baling-baling di atas bukit.

sejak/semenjak

Digunakan untuk menyatakan makna bermula dari sesuatu masa tertentu. (waktu dan masa)

1. Kumar tinggal bersama-sama dengan neneknya sejak sepuluh tahun dahulu.

2. Mereka berjaga sejak malam lagi.

seperti/ umpama/ laksana

Digunakan untuk menyatakan makna persamaan dengan yang lain.

1. Wajahnya muram seperti bulan kesiangan hari.

2. Laksanakanlah tugas itu seperti yang diperintahkan.

tentang/mengenai

Digunakan untuk menyatakan perlakuan atau perbicaraan.

1. Beliau akan memberikan ceramah tentang bahasa baku.

2. Mereka berbincang tentang masalah negara.

demi

Membawa tujuan sesuatu dan sebagai unsur penegas.

1. Rakyat Malaysia mesti bersatu padu demi kestabilan negara.

2. Demi Allah aku tidak akan mengulangi perbuatan terkutuk itu.

terhadap

Digunakan sebagai unsur rujukan manusia, haiwan, dan mujarad.

1. Seorang ketua harus sentiasa bersikap adil terhadap anak buahnya.

2. Jangan kejam terhadap binatang.

3. Ketua kelas sentiasa curiga terhadap kejujuran anak buahnya.

dalam/antara

Membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak.

1. Dalam hal ini kita semua setuju.

2. Saya tidak terlibat dalam urusan mereka.

Rujukan:

Petunjuk Tatabahasa Bahasa Melayu. Asraf. Sasbadi Sdn. Bhd. Petaling Jaya. 2007.
Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Nik Safiah Karim. Dewan Bahasa dan Pustaka.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Didik Hibur - Premium Blogger Themes | Top WordPress Themes