Jenis-jenis Terapi Bercerita

Jenis-jenis Terapi Bercerita



1 Beg Cerita Ajaib
Objektif kaedah ini adalah untuk membina satu cerita berdasarkan objek ajaib. Peralatan yang digunakan ialah satu beg kertas yang mengandungi pelbagai objek. Ketua kumpulan akan mempunyai pelbagai objek di dalam sebuah beg kertas. Setiap ahli kumpulan perlu mengambil satu bagi setiap seorang. Objek tersebut boleh diambil daripada objek yang digunakan setiap hari seperti berus gigi, batu, bulu ayam dan sebagainya. Objek tersebut akan diletakkan di dalam sebuah beg yang tidak menampakkan bahagian dalam beg. Dengan tidak memandang ke dalam beg, ahli kumpulan akan menarik objek secara rawak. Objek tersebut dianggap ajaib dan penting dalam penceritaan. Ahli kumpulan diberikan beberapa minit untuk membuat cerita berdasarkan objek yang dipilih. Ahli kumpulan akan menceritakan sebuah cerita berdasarkan objek tersebut.

2 Buku Cerita
Kaedah ini memerlukan murid untuk mereka sebuah buku cerita. Murid akan memilih sebuah cerita atau mereka sebuah cerita mereka sendiri. Setelah mereka memilih cerita atau mereka cerita, murid akan membina sebuah buku cerita. Penghasilan buku cerita boleh dilakukan berdasarkan kekreatifan murid tersebut. Alatan yang boleh digunakan ialah kad manilakat, kertas putih, penebuk lubang, marker, reben dan sebagainya.

3 Pihak Ketiga
Guru akan memilih beberapa cerita dan murid akan memilih watak lain yang ada selain watak yang ada dalam cerita. Murid akan menulis semula cerita daripada sudut pandangan watak yang berbeza. Watak dan cerita yang direka perlulah sama dengan cerita asal. Dalam hal ini,guru akan dapat melihat motivasi atau masalah dalam diri murid semasa mereka menulis semula cerita. Untuk kaedah ini,tiada alatan yang khusus digunakan.

4 Satu Gambar Seribu Makna
Objektif kaedah ini adalah untuk merangsang visual dan imaginasi serta perhatian murid kepada lebih terperinci. Kaedahnya adalah dengan menunjukkan gambar yang menunjukkan objek dengan lebih dekat. Gambar tersebut boleh diambil dengan sendiri atau diambil daripada majalah. Perlu dipastikan bahawa gambar tersebut mempunyai tekstur dan warna yang pelbagai. Murid akan memberikan pandangan mereka tersendiri tentang gambar yang dilihat. Selepas itu, murid akan mereka sebuah cerita berdasarkan pandangan mereka tentang gambar yang dilihat.

5 Montaj Keluarga
Objektif kaedah ini adalah untuk menggalakkan murid untuk menceritakan tentang keluarga mereka. Kaedah ini dijalankan melalui gambar-gambar keluarga atau peristiwa-peristiwa penting dalam hidup mereka. Satu montaj akan direka di atas sehelai kertas sehingga menjadi kolaj gambar. Setelah montaj disiapkan, murid akan membina bingkai bagi montaj tersebut. Murid akan menceritakan cerita tentang gambar yang mereka pilih. Alatan yang digunakan ialah gambar keluarga, gam dan kertas.

6 Kapsul Masa
Objektif kaedah ini adalah untuk menggalakkan murid menceritakan tentang masa lepas. Murid diminta untuk membawa gambar, lukisan, atau barang peribadi yang penting dalam hidup mereka. Murid akan menulis cerita tentang peristiwa dan kejadian yang penting dalam hidup mereka. Murid akan mereka sebuah kotak atau tiub daripada surat khabar, gambar majalah atau lukisan mereka. Sebelum meletakkan barang peribadi ke dalam kotak tersebut, murid akan menceritakan tentang kejadian di sebalik barang tersebut dan mengapa barang tersebut penting bagi mereka. Apabila barang telah diletakkan ke dalam kapsul masa, kapsul tersebut akan ditutup dan murid tidak boleh membuka sehingga sampai suatu masa. Pastikan arahan diletakkan di luar kapsul tersebut.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Didik Hibur - Premium Blogger Themes | Top WordPress Themes