Peningkatan Kefahaman Petikan Fakta

Penggunaan Teknik Kloz Untuk Meningkatkan Pemahaman Membaca Petikan Jenis Fakta

Mohamad Azhan Bin Desa
Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu



ABSTRAK

Penyelidikan tindakan ini dijalankan bertujuan meningkatkan pemahaman membaca petikan jenis fakta melalui “Teknik Kloz”. Responden dalam kajian ini terdiri daripada 36 orang murid Tahun 4 Cemerlang. Tinjauan awal mendapati murid mengalami masalah dalam memahami petikan jenis fakta. Analisis dokumen menunjukkan responden memperoleh skor pencapaian sederhana dan lemah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kertas pemahaman ujian PKSR 1 di sekolah. Ujian Pemahaman Awal dan temu bual dijalankan bagi mengenal pasti masalah utama responden. Kajian ini menggunakan reka bentuk Lewin(1946) dan Laidlaw(1992). Pelaksanaan intervensi dimulakan dengan aktiviti mengisi perkataan dalam petikan berpandukan jawapan yang disediakan, seterusnya mengisi perkataan dengan empat pilihan jawapan sebagai bimbingan awal terhadap responden. Aktiviti yang ketiga dan keempat, responden mengisi perkataan dengan jawapan sendiri dalam tempoh masa yang ditetapkan. Dapatan Ujian Pemahaman Akhir menunjukkan peningkatan sebanyak 10 orang (27.8 peratus) berbanding Ujian Pemahaman Awal hanya 3 orang (8.3 peratus) responden yang memperoleh gred A. Hasil analisis temu bual menunjukkan keseluruhan responden menyatakan bahawa Teknik Kloz yang diperkenalkan membantu meningkatkan pemahaman membaca petikan jenis fakta. Hasil soal selidik mendapati 70 peratus responden memberikan pandangan yang positif kepada penggunaan Teknik Kloz. Keputusan kajian menunjukkan Teknik Kloz membantu murid meningkatkan pemahaman membaca petikan jenis fakta. Oleh itu, teknik ini boleh dijadikan alternatif kepada guru semasa pengajaran kemahiran bacaan dan kefahaman. Cadangan penambahbaikan, menggunakan bahan teks mengikut aras yang rendah kepada yang lebih sukar dalam menilai kebolehbacaan bahan teks pengajaran. Justeru, kemahiran murid dalam kemahiran bacaan dan kefahaman menjadi lebih baik dengan penggunaan teknik yang betul.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Didik Hibur - Premium Blogger Themes | Top WordPress Themes